Pendosa Tanpa Noktah
28 Rejab 1439H
Sahabatku, sekelam apapun masa silam kita, sebesar apapun dosa yang telah kita lakukan, sehancur apapun jalan yang telah kita tempuhi.
Kembalilah ke jalanNya, bertaubatlah kepadaNya dan berharaplah hanya dariNya.
Kerana Dia menjanjikan keampunan dari setiap dosa anak Adam. Dialah Allah yang Maha Penyayang dan Dialah mengetahui mana jalan yang terbaik buat kita semua. Jangan pernah berputus asa daripada rahmatNya.
Gunakan kesempatan masa yang tersisa ini untuk kita sama-sama bertaubat daripada dosa dan maksiat. Perbetulkan setiap kesalahan dan keluarlah daripada belenggu kekhilafan. Kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka dan luasnya, seluas langit dan bumi. Hanya menunggu kita untuk melangkah kaki untuk melaluinya.
Hidayah itu perlu dicari, bukannya hanya duduk dan tunggu sahaja. Carilah hidayah itu dengan memulakan segala ketaatan kepada Allah. Berdampinglah dengan orang yang sudah mendapatkan hidayah, dengan izin Allah kita pun akan mendapatkan hidayah.
Sungguh, Allah sangat sayangkan kita melebihi kasih sayangnya ibu terhadap anaknya. Kembalilah ke jalanNya.
"Aku tidak layak ke syurga, dosaku terlalu banyak"
Saat kita menafikan dengan pelbagai hujah dan alasan, Allah pula menegaskan yang sebaliknya.
"Katakanlah : Wahai hamba-hambaKu yang telah melampau batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" ( Az Zumar ayat 53 )
Jadilah apa alasan lagi yang kita mahu kemukakan, Allah telah pun menjawab segala hujahan kita. Ketahuilah, syurga itu bukan semata-mata untuk mereka yang tidak pernah melakukan dosa. Tapi syurga itu terbuka luas untuk pendosa yang bertaubat dari khilafnya.
-Iz-
Comments
Post a Comment