Propaganda Nasihat
Kemungkaran adalah suatu yang tidak asing lagi pada akhir zaman ini. Di mana-mana sahaja pasti ada kemungkaran berlaku. Tidak mengapa, kita lihat kepada skop yang lebih kecil dahulu iaitu di rumah. Kemungkaran dalam keluarga juga ada seperti anak menderhaka kepada ibunya, adik-beradik saling berkelahi dan macam-macam lagi. Kenapa ini semua terjadi? Adakah kita perlu menyalahkan satu pihak sahaja dalam hal ini, adakah kita patut menyalahkan ibu bapa yang salah mendidik anak-anak sehingga tiada lagi budi pekerti dalam dirinya?
Tidak sama sekali.
Dari anak kecil sehingga dewasa, kita semualah yang menjadi agen pembentukan kepada diri seseorang anak itu. Ya, kita perlu melihat kepada semua aspek pembentukan dalam diri kanak-kanak. Sebagai contoh aspek sosial, kognitif, emosi, fizikal dan yang paling penting rohani. Semua aspek ini jika berat salah satu maka tidak seimbanglah perkembangannya. Besar bukan natijahnya?
Pada awal-awal Ramadhan, kita dikejutkan dengan video parodi yang menayangkan beberapa orang lelaki menari seperti penari kelab malam. Pelbagai hentaman serta kecaman yang diterima mereka kerana tidak menghormati bulan yang mulia. Tapi adakah kecaman kita itu mendatangkan hasil yang baik kepada mereka semua. Sudah pasti emosi mereka terganggu kerana mendapat cemuhan daripada orang sekeliling mereka. Ibu bapa mereka pasti merasa malu dengan masyarakat. Bukankah dalam Islam sendiri kita diajar untuk tidak menyebar aib sesiapa. Tapi sudah kebiasaan masyarakat kita, mereka tidak boleh melihat suatu yang asing dalam budaya mereka, Tapi adakah itu satu alasan untuk mereka menghentam tanpa menggunakan akal yang sudah dikurnia Allah?
Ya, perkara yang batil perlu kita cegah. Tapi perlulah ada manualnya, bukannya menjadi keyboard warrior yang menghamburkan kata-kata cacian yang tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada semua pihak. Menasihati perlulah berhikmah jangan sesekali menghina. Tapi majoriti masyarakat sudah diajar untuk tidak bertoleransi dengan apa-apa, hanya mengikut hawa nafsunya sahaja. Ini bukanlah cara didikan Rasulullah.
Kita perlulah saling mengingati antara satu sama lain dengan cara sebagaimana Islam mengajar kita menegur kesalahan orang lain. Jangan kita hakimi mereka, menentukan mereka ke neraka atau syurga kerana kita sama-sama hamba, dia, kamu, dan mereka. Yang membezakan kamu semua adalah ketaqwaan kamu kepada Allah. Ingat Islam sudah menggariskan beberapa panduan untuk menegur kesilapan orang lain.
Jika melihat seseorang itu membuat kemaksiatan, kamu berilah dia kesedaran. Pertama letakkan diri kamu dalam kehidupan mereka. Nasihatlah mereka dengan berhadapan kerana itu lebih berkesan, jangan terus menghakimi mereka. Jangan mengira kamu lebih baik daripada mereka, kerana di situ bakal menyebabkan penyakit hati. Bencilah perkara mungkar yang dia lakukan bukannya si pelaku.
Jika dia masih terus melakukan kelakuan buruknya, boleh dilakukan secara keras sekirannya nasihat secara lisan tidak berkesan ke atas orang yang melakukan kesalahan. Tapi ingat, peringatan keras ini bukan bermaksud kita boleh mengecam atau melakukan sesuatu ke atas pelaku, tetapi ia bermaksud kita menegur kembali kesilapan dengan lebih tegas secara terbuka kepada orang awam, sekiranya perlakuannya dibuat secara terbuka. Tetapi jika dilakukan secara rahsia, tegurlah dia secara berduaan sahaja.
Tidak juga berhasil?
Kita serahkan sahaja kepada Allah, berdoalah agar orang itu diberikan hidayah Allah. Jangan pernah meninggalkan orang itu, sentiasalah memberi nasihat. Biarpun kita sudah melaksanakan tanggungjawab "amar makruf nahi mungkar" ini, bukan kitalah yang membuka pintu hatinya tetapi Allah. Kita mampu berusaha, tetapi Allah yang menentukan.
"Ubahlah sikap kita yang suka menghakimi kesalahan orang lain, bukan dengan kecaman tetapi dengan hikmah nasihat. Meletakkan diri sebagai orang yang tiada apa nilai menjadikan kita sentiasa merendah diri terhadap orang lain dan mudah untuk disenangi ramai"
-Iz-
Comments
Post a Comment