The Boiling Frog Theory

Mungkin kita semua tidak pernah mendengar teori yang menjadi tajuk pada hari ini. Apa itu The Boiling Frog ? Sebenarnya hasil daripada pembacaan yang banyak, saya menemui teori yang tidak pernah dibahaskan oleh masyarakat kita. Teori The Boiling Frog ini membincangkan bagaimana katak boleh mati dididih tanpa katak itu cuba untuk melompat untuk menyelamatkan diri.

Pelik bukan ?

Jika anda meletakkan air panas yang mendidih dan mencampak katak ke dalamnya, katak dengan tindakan refleksnya akan melompat keluar.

Namun,

Jika anda meletakkan katak dalam air suam, katak akan berendam selesa tanpa berganjak sedikit pun daripada air tersebut, kemudian anda panaskan sedikit demi sedikit. Ketika air semakin panas, katak tersebut akan menyelaraskan tubuhnya mengikut suhu air. Tanpa katak itu tahu dirinya sedang dalam keadaan berbahaya.

Pada saat katak itu sedar dirinya sedang dididihkan, katak tersebut terus ingin melompat keluar, namun tidak sempat lagi kerana sudah terlalu lambat. Semua tenaganya telah digunakan semasa proses penyelarasan dengan suhu air tadi.

Teori ini memberikan kita beberapa persoalan, apa yang membunuh katak ?

Majoriti akan mengatakan air yang mendidih itu, tapi kebenarannya katak itu mati kerana ketidakupayaan katak untuk membuat keputusan untuk melompat.

Dia telah membunuh dirinya sendiri.

Jadi apakah pengajaran yang kita boleh ambil daripada teori ini ? Apakah kaitannya dengan kehidupan kita ?

Bahaya jika kita menjadi seperti katak itu. Sedikit demi sedikit kita dipanaskan. Suam-suam kuku yang memang menyelesakan.

Namun,

Lama kelamaan air suam itu menjadi panas sehingga mampu membunuh kita. Saat kita sedar, semuanya telah terlambat dan tiada apa boleh dilakukan lagi.

"We are boiled to death"

Situasi pada hari ini membuatkan ana sedar teori itu memang benar.

Ramai yang mempertahankan yang batil berbanding yang perkara yang hak, sehingga yang hak itu hilang terpadam dan tidak kelihatan.

Masyarakat keliru mana kaca dan mana yang permata.

Kejahatan berleluasa sehingga kita tersepit dan tidak tahu untuk berbuat apa. Manusia memberi seribu satu solusi sehingga kita lupa apa saranan nabi !

Kita hidup atas kekeliruan sehingga agama Islam mereka dustakan dan mereka mula bertoleransi. Bertoleransi dengan banyak perkara yang tidak pasti, kabur, samar-sama dengan mengatakan

"Tak apa, kita bagi peluang"

"Tak apa, kita tengok dulu apa yang jadi"

"Tak apa, sedikit sahaja"

"Tak apa kita enjoy dulu, nanti dah tua kita bertaubatlah"

Ketahuilah inilah yang akan menjadi satu asbab kita menyesal di kemudian hari !

Wahai saudaraku,
Islam ini jelas, agama ini cukup jelas.

Tapi kita telah keliru dengan agama kita sendiri.

Sungguh benarlah orang yang mudah tertipu adalah mereka yang tidak mahu atau malas menuntut ilmu. Malas mengambil ibrah daripada sirah dan sejarah, lantas mereka mahu mengulanginya.

Wahai saudaraku,
Sampai bila?

Saudara kita di Palestin dan Syria setiap hari dibunuh dan berjihad atas sebab mempertahankan agama.

Kita di sini? Kita mempertahankan apa?

Apakah keselamatan yang lain itu lebih mulia daripada kemaslahatan agama Islam?

Mengapa kita sewenangnya kita mengatakan

"Tidak apa"?

Ana tidak sedih jika kita ditewaskan oleh musuh, namun ana lebih sedih jika umat muslimim ditewaskan oleh umatnya sendiri !

Ketahuilah kita pada hari ini sentiasa bertoleransi dengan pendustaan dan fantasi angan-angan.

Kita dihumban dengan seribu satu teori moden, hujah-hujah dan pendirian yang tidak memudaratkan.

Namun, sedarlah itu sebenarnya pembuka kepada jalan kehancuran dan kebinasaan !

Ingatlah air panas mendidih tidak terus muncul, ianya datang perlahan-lahan tanpa kita sedari, hingga suatu saat nanti kita sudah tidak mampu lari daripadanya. 

Kembalilah kepada Allah SWT
Kembalilah kepada Islam
Kembalilah kepada al-Quran
Kembalilah kepada sunnah Rasulullah SAW

Semuanya bermula daripada diri kita sendiri. 
Teruskan langkahmu menuju Tuhan yang Esa sebelum terlambat.
-Iz-

Comments