Lata Berembun

Gunung Berembun 
Ketinggian :  1014 meter
Lokasi : Kampung Pantai Baharu, Negeri Sembilan






Alhamdulillah, pada kesempatan ini saya dapat menulis sebuah blog berkaitan pendakian saya baru-baru ini di Gunung Berembun yang terletak di Kg. Pantai Baharu berdekatan dengan Jelebu di Negeri Sembilan. 

Apa yang menariknya dengan Gunung Berembun ini ?

Memang tidak dinafikan, kita sebut sahaja berkenaan gunung-ganang mesti terlintas dalam pemikiran kita iaitu suasana yang sunyi dikelilingi permandangan hijau, hidupan liar, sungai-sungai yang jernih dan indah. Ya itu sudah semestinya suatu perkara yang telah dijanjikan oleh alam semulajadi jika kita menerokainya.











Gunung Berembun adalah suatu destinasi yang sesuai untuk para pendaki di luar sana. Laluan yang agak santai dan ada beberapa trail yang mempunyai permukaan bumi menegak. Untuk sampai ke puncak memakan masa sekurang-kurangnya empat jam. Yang menariknya, sebuah bangkai pesawat B24 milik tentera British yang terhempas sewaktu Perang Dunia ke-2 dahulu masih ada di Gunung Berembun ini.

Bukan itu sahaja, terdapat sebuah air terjun yang menjadi tempat persinggahan pendaki setelah penat meredah hutan. Di air terjun ini, pendaki boleh berehat, berkhemah dan bermandi-manda untuk menyegarkan badan.

Pengembaraan di Hutan Gunung Berembun.

Amat penting sebelum memulakan apa-apa perancangan pendakian disarankan untuk melihat ramalan cuaca. Jika hujan, amat berbahaya untuk pergi kerana dikhuatiri laluan curam dan licin dan boleh mengakibatkan kemalangan. Persediaan seperti kasut, seluar dan baju yang bersesuaian, handglove, mask, lampu, bandana amat penting ketika mendaki bagi memudahkan perjalanan di dalam hutan.

Jadi sebelum memasuki hutan Gunung Berembun, kita mesti mendaftar di pondok pendaftaran, dan membayar sebanyak RM5 seorang. Sebelum mendaki, sudah semestinya kita perlu melakukan pemanasan badan. Setelah itu, bacalah doa supaya kita dilindungi oleh Allah daripada mara bahaya yang tersembunyi di dalam hutan. Menjaga adab dan tutur kata pun penting ketika di dalam hutan, sebab kita tidak tahu apa yang menghuni hutan tersebut. Jadi tak nak bahas perkara mistik ini sangat, kita teruskan dengan cabaran ketika mendaki,

Cabaran pertama adalah para pendaki Gunung Berembun akan melalui trail yang panjang memakan masa empat jam ke puncak. Pada masa itu, mental dan fizikal kita akan teruji, samada kita mahu meneruskan perjalanan atau ingin berpatah balik. Trail menegak berada pada permulaan pendakian dan selepas melalui Gua Kambing yang menjadi tempat berehat, dan tempat mengisi bekalan air.


Gua Kambing yang menjadi tempat persinggahan dan mengisi bekalan air


Setelah melepasi Gua Kambing, trail menegak akan dilalui para pendaki. Ketika mendaki, terdapat tali berada di bahagian tepi trail, tetapkan jarak yang konsisten ketika melangkah. Para pendaki baru jangan risau, terdapat penunjuk arah dan jarak ketika melalui hutan di Gunung Berembun. Terdapat kepingan kertas putih di sepanjang laluan yang menjadi penanda jika kita keliru dengan arah menuju ke destinasi.

Terdapat anak sungai yang para pendaki akan lalui, dan salah satunya ialah Lata Berembun. Di sana, terdapat air terjun yang mengujakan, para pendaki boleh berenang di air terjun tersebut setelah penat mendaki. Tapi jika hujan, para pendaki digalakkan untuk tidak berada di sana, kemungkinan kepala air akan muncul pada bila-bila masa sahaja.

Air Terjun Lata Berembun


Setelah sampai di puncak Gunung Berembun, pendaki boleh berehat sambil menangkap gambar sebagai kenang-kenangan. Pemandangan di puncak tidak berapa nampak kerana dilitupi oleh pokok-pokok, tapi itu bukanlah satu alasan kerana pemandangan yang indah itu sendiri ada pada hutan Gunung Berembun. Setelah puas berehat, para pendaki boleh meneruskan perjalanan menuju ke tempat bangkai pesawat B24 yang terhempas, terletak di pertengahan jalan menuju ke Gunung Telapak Buruk. Memang tidak dinafikan, bangkai pesawat tersebut masih ada sehingga sekarang dan menjadi salah satu tarikan pengunjung untuk datang menangkap gambar.







 Serpihan-serpihan bangkai pesawat B24 yang terhempas semasa Perang Dunia ke-2 masih utuh dan menjadi tarikan pengunjung.


Pengalaman saya mendaki Gunung Berembun amat mengujakan. Sememangnya jika kita menerokai alam, ada banyak lagi perkara yang belum kita ketahui. Memang kesibukan kita bekerja membuatkan kita tiada masa untuk semua perkara itu. Tapi carilah masa untuk diri kita bersama alam, menongkah misteri yang penuh dengan keindahan.  




Terima kasih kerana membaca.

-Iz-
















Comments